Tuesday, January 27, 2009

Murid dari PASTI Temerloh akan mewakili Pahang pada Hari Anugerah Cemerlang PASTI Malaysia


Tahniah kepada adik Nabil Umar b Abdul Rahaman ! Adik Nabil akan mewakili Pahang sempena Hari Anugerah Pelajar Cemerlang PASTI Malaysia. Majlis berkenaan akan diadakan pada 31 Januari 2009 di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, Selangor bermula jam 2.30 petang.

Adik Nabil ialah bekas murid PASTI Ummu Khalidah, Temerloh. Ibu bapa Nabil dijangka akan turut serta dalam majlis berkenaan. Semoga kejayaan Nabil akan dicontohi oleh murid-murid PASTI yang lain.

Sunday, January 18, 2009

Sekitar Kursus Huraian Sukatan Pelajaran PASTI

Seramai 44 orang guru PASTI telah mengikuti Kursus Huraian Sukatan Pelajaran (subjek murid 5 Tahun) yang diadakan pada 17 Januari 2009. Kursus yang dianjurkan oleh Jabatan PASTI Temerloh ini juga mendapat penyertaan dari guru-guru PASTI dari Bera, Kuala Krau dan Maran. Kursus ini bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan disampaikan oleh tiga orang penceramah.


Kursus sehari yang diadakan di Pejabat ADUN Kuala Semantan, Temerloh ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan menambahbaikkan kemahiran instruksi dalam kalangan guru-guru. Sepanjang kursus ini, guru-guru menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi. Pelbagai pertanyaan dikemukakan kepada penceramah.

Pada akhir kursus ini, guru-guru PASTI Temerloh telah menyerahkan kutipan derma untuk Palestin yang telah disumbangkan oleh ibu bapa murid PASTI. Guru-guru yang hadir juga turut menyumbangkan derma bagi membantu rakyat Palestin. Jumlah semua kutipan ialah RM920.00. Wang tersebut telah diserahkan kepada PASTI Negeri Pahang untuk dihantar ke Palestin. Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ibu bapa dan guru yang telah menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu umat Islam di Palestin yang berada dalam kesusahan dan musibah. Semoga sumbangan ini dikira oleh Allah sebagai amal soleh.












Tuesday, January 13, 2009

RAYUAN DERMA UNTUK RAKYAT PALESTIN

Jabatan PASTI Temerloh telah menghantar surat kepada semua ibu bapa dan penjaga murid PASTI untuk mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban umat Islam di sana. Sumbangan kewangan ini akan hendaklah diserahkan melalui guru-guru di 13 buah PASTI di Temerloh selewat-lewatnya pada 16 Januari ini.
Sumbangan kewangan adalah salah satu cara untuk umat Islam membantu sesama saudara seagama yang berada dalam penindasan pengganas Yahudi. Antara cara lain yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah dengan menyertai pasukan sukarela ke Palestin, menyertai demontrasi aman, memboikot barangan dan mata wang Amerika & Israel serta berdoa dan bermunajat kepada Allah swt.
Ayuh sahabat semua dan umat Islam yang beriman! Bangkitlah dengan segala kekuatan yang ada. Sumbangkanlah hartamu dan dirimu untuk kegemilangan Islam! Jangan biarkan pengganas Yahudi bermaharajalela.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Saturday, January 10, 2009

Selamat Kembali ke PASTI

Ahli Jawatankuasa Jabatan PASTI Temerloh mengucapkan selamat kembali semula ke 13 buah PASTI sekitar Temerloh kepada semua murid dan guru PASTI. Cuti akhir tahun baru-baru ini sudah pasti dapat dijadikan momentum kepda guru-guru dan murid-murid PASTI menyambung sesi persekolahan pada tahun 2009 ini.

Pada minggu pertama sesi persekolahan tahun ini, murid-murid PASTI di kawasan Temerloh mempunyai seramai 322 orang. Daripada jumlah ini, seramai 124 orang adalah murid berumur 6 tahun dan 156 orang adalah murid berumur 5 tahun. Yang selebihnya iaitu 42 orang adalah murid 4 tahun.

Diharapkan pihak jemaah pengurusan PASTI dan guru-guru dapat memberikan khidmat mereka dalam bidang pendidikan ini. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya. Teruskan usaha anda untuk kecemerlangan PASTI dan kegemilangan ISLAM.

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.