Justeru, bagi menangani anak-anak yang bermasalah ini kita perlu mengenali beberapa faktor atau punca. Antaranya ialah kelemahan amalan agama dalam diri anak. Apabila amalan agama dan kerohanian tidak dihayati maka anak-anak akan mudah terdedah kepada masalah. Anak-anak yang mempunyai kekuatan kerohanian akan merasakan tingkah laku mereka sentiasa dipantau. Mereka juga mempunyai hati yang tenang dan minda yang segar.
Selain itu, sifat warisan daripada ibu bapa juga mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Bak kata pepatah "Bapa borek anak rintik". Menurut kajian, 90% perangai anak-anak terbentuk sewaktu di dalam rahim ibu. Ringkasnya, emosi dan perlakuan ibu bapa semasa anak berada dalam kandungan ibu akan mempengaruhi anak-anak. Jadi, fikir-fikirlah....
Di samping itu, tekanan perasaan juga menyebabkan gejala perlakuan bermasalah dalam kalangan anak-anak. Umpamanya, anak-anak tertekan dengan masalah pergaduhan ibu dan bapa di rumah. Pertengkaran yang berterusan memberi kesan negatif kepada perkembangan anak-anak. Implikasinya, anak-anak akan menzahirkan tekanan perasaan ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang negatif seperti bergaduh, merokok, vandalisme dan sebagainya.
Konklusinya, ibu bapa dan guru perlu mewujudkan suasana yang kondusif bagi perkembangan diri anak-anak. Tepuk dada, tanya iman...
No comments:
Post a Comment