Wednesday, July 8, 2009

PPSMI akan dimansuhkan pada 2012

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaannya bermula berperingkat mulai 2012 bagi Tahun Satu dan Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Beliau berkata, bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Serentak itu, katanya, kerajaan memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan perlu dimantapkan lagi. “Pelaksanaan keputusan Kabinet bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada 2012. “Ia bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan Kabinet itu di sini.

Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014. Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003. Katanya, hasil kajian itu menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan. “Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, di mana guru mengajar pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,” katanya.

Sumber: bharian

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.