Saturday, March 14, 2009

SUKANEKA GABUNGAN MERIAH...


Padang Awam Kampung Tanjung Batu telah menjadi lokasi Sukaneka Gabungan PASTI Kawasan Temerloh yang diadakan pada 14 Mac 2009. Empat buah PASTI iaitu PASTI Al Amin, Lukman Hakim, Hidayah dan Habiburahman telah bergabung untuk menjayakan sukaneka tersebut. Sebanyak 15 acara sukaneka telah dipertandingkan termasuk acara ibu bapa dan murid-murid sekolah rendah.












Sukaneka ini juga turut dihadiri oleh Ketua Kampung Tanjung Batu. Ibu bapa dan penjaga murid PASTI telah hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada anak masing-masing. Kerjasama dan kesungguhan guru-guru amat dihargai sehingga berjayanya sukaneka ini dilaksanakan.














Antara acara yang mendapat perhatian daripada hadirin ialah acara tarik tali, lari kasut besar dan tarik upih. Selain itu, pertandingan rumah sukan tercantik juga diadakan. Rumah sukan yang tercantik ialah Rumah Merah, diikuti Rumah Hijau dan Rumah Kuning. Manakala johan keseluruhan dimenangi oleh Rumah Hijau.

Pada akhir acara sukaneka, YDP PAS Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. Para urus setia sukaneka juga menerima cenderahati bagi menghargai sumbangan mereka melancarkan sukaneka kali ini.

Pihak Jabatan PASTI mengucapkan ribuan terima kasih kapada semua pihak yang menjayakan sukaneka ini. Khususnya kepada Ketua Kampung Tanjung Batu, JKKK, Ustaz Abdul Rahim, pihak pengurusan surau, guru-guru, ibu bapa dan urus setia sukaneka. Terima kasih daun keladi.....

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.