Saturday, May 30, 2009

Ciri-ciri Emosi Kanak-kanak Prasekolah

Antara ciri emosi kanak-kanak prasekolah;

● semakin sensitif pada pujian dan kritikan
● mudah meniru tingkah laku emosi yang diperhatikan
● mampu mengawal emosi
● mempunyai sifat empati akan orang lain
● sentiasa menunjukkan emosi gembira dengan senyuman
● mampu menunjukkan emosi duka seperti marah, lapar, sedih
● mempunyai perasaan takut yang tidak rasional
● mempamerkan perasaan segan, bimbang, cemburu dan bosan ● sesetengah murid lambat mesra
● emosi yang kadang-kala mudah berubah dan sukar difahami

Sunday, May 24, 2009

TEMERLOH JUARA !

BANDAR PUSAT JENGKA, Kuala Krau, 24 Mei – Pasukan Bola Jaring Jabatan PASTI Temerloh telah menjuarai pertandingan Sukan PASTI Malaysia Peringkat Negeri Pahang. Pasukan bola jaring Temerloh telah mengalahkan pasukan dari PASTI Bera pada pertandingan akhir.

Dalam pertandingan bola sepak pula, pasukan dari Indera Mahkota telah menjuarai dalam pertandingan berkenaan setelah menewaskan pasukan dari Rompin. Manakala pasukan bola sepak Temerloh pula hanya mampu mendudukki tempat keempat. Namun begitu, pemain-pemain bola sepak Temerloh telah menunjukkan semangat juang yang tinggi. Tambahan pula para ibu bapa dan guru yang hadir juga telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Tahniah untuk semua!.

Sukan PASTI peringkat negeri Pahang ini telah dirasmikan pembukaan pada sebelah pagi oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim b Tuan Man. Pertandingan tahunan yang kali ini diadakan di Stadium Mini Bandar Jengka Pusat ini mendapat sambutan daripada murid-murid PASTI, guru-guru dan ibu bapa yang datang dari PASTI seluruh negeri Pahang. Pertandingan sukan ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan pada jam 4.30 petang.

Sepanjang pertandingan tersebut dilangsungkan, pemilihan pemain untuk mewakili Jabatan PASTI Pahang telah diadakan. Pemain-pemain yang dipilih akan bermain di Selangor pada 27 dan 28 Jun nanti pada peringkat kebangsaan. Lawan tetap lawan!





Thursday, May 21, 2009

Asal-usul PASTI.....

Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan prasekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam(TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.
Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.

Pada 29- 30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang, Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu "Struktur Organisasi dan Penyelarasan Pendidikan Prasekolah" oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan "Penyelarasan Manhaj Pendidikan Prasekolah' oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama Sdra. Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Sdra. Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan Sdra. Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Demikianlah antara rentetan ringkas sejarah PASTI di negara kita ini. Pelbagai kejayaan dan kegemilangan yang telah dicipta. Antara kemuncak kejayaan, PASTI telah menyambut Jubli Perak pada tahun ini dan telah diraikan dengan rasminya pada 16 Mei yang lalu di Tawau Sabah. Namun begitu, seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah PASTI Malaysia baru-baru ini, masih terdapat kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan PASTI. Justeru, kelemahan yang ada perlu dijadikan cabaran untuk mempertingkatkan lagi pengurusan PASTI di semua peringkat, khususnya di peringkat pusat dan negeri. Tempoh masa 25 tahun perkembangan PASTI ini bukannya masa yang singkat. Sudah pasti PASTI telah mencapai umur dewasa dan matang. Bagi kami di peringkat bawahan ini, amat menantikan sekurang-kurangnya sekolah rendah Islam direalisasikan sebagai kesinambungan daripada prasekolah PASTI ini. Hal ini demikian kerana dalam tempoh 25 tahun sewajarnya banyak dapatan dan hasil penyelidikan yang mampu dijadikan asas bagi penambaikkan dan penghasilan inovasi dalam perkembangan pendidikan; agar tidak hanya berfokus kepada pendidikan prasekolah semata-mata.

Saturday, May 16, 2009

TAHNIAH UNTUK GURU-GURU PASTI SELURUH NEGARA....

16 Mei 2009 bersamaan 21 Jamadil Awal 1430H adalah hari bersejarah bagi warga pendidik .
Sejak hari yang ditarikhkan oleh Penyata Razak sebagai Hari Guru , 16 Mei 2009 [ hari ini ] mencatat sejarah gemilang bagi warga pendidik pra persekolahan Pusat Asuhan Tunas - Tunas Islam [PASTI] , apabila Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan diadakan di Tawau Sabah .

Sambutan ini juga serentak dengan sambutan Jubli Perak PASTI setelah 25 tahun mengharungi segala pahit getir perjuangan memartabatkan sistem pendidikan Islam peringkat Pra Persekolahan di negara ini .

Membawa tema 25 Tahun memimpin Perubahan kini PASTI bertapak gagah di tengah - tengah saingan pendidikan negara dengan memiliki 1700 buah sekolah PASTI di seluruh negara , 3300 guru dan 63, 350 murid .

Alhamdulillah , kini PASTI setelah melalui tempoh usia yang cukup menguji keutuhannya , bukan sahaja bersaing dengan sistem pendidikan pra persekolahan yang dianjurkan oleh Kerajaan tetapi juga tekanan politik dan kekangan tahap keupayaan mandiri tanpa sebarang bantuan dan sokongan dari kerajaan samaada material atau moral .

Kurikulum PASTI akhirnya diakui oleh pakar pendidik sebagai antara yang terbaik dalam negara kita . Alhamdulillah , dengan penuh insaf dan sedar bahawa kami Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] boleh mengatakan bahawa inilah antara mercu tanda kejayaan dan pencapaian DPPP setelah gagasan Kepimpinan Ulama' yang turut meletakkan nama DPPP perkasa di hadapan .

PASTI juga adalah sumbangan besar DPPP kepada ummat Islam dalam membina fikrah dan syakhsiah insan sejak dari awal umurnya bahkan tidak keterlaluan jika DPPP mengisytiharkan bahawa ini juga adalah sumbangan besarnya kepada negara yang tidak boleh di nafikan oleh sesiapa .

Tanpa memandang rendah kepada beberapa kelemahan dan kekurangan yang dihadapi dalam membangunkan PASTI , Pengarahnya En. Azrin Abdul Majid terus memberi komitmen untuk terus memperbaiki segala kelemahan dan sekaligus memperkasakannya demi mempertahankan kewibawaan PASTI di mata dunia .

Kini PASTI bukan sahaja telah dipandang oleh para pengkaji dan penyelidik malah para mahasiswa yang sedang menduduki pengajian peringkat master dan Phd turut menjadikan PASTI sebagai subjek tesis mereka .

PASTI juga turut dibentang sejarah penubuhan , halangan , pencapaian dan kurikulumnya sepanjang ia bertapak di negara ini dibawah keloaan DPPP ke peringkat antarabangsa . Dato' Harun Taib pernah diamanahkan untuk membentang satu kertas kerja berkait sejarah penubuhan , halangan , pencapaian dan kurikulum PASTI ke persidangan Gerakan Islam antarabangsa yang berlangsung di Sudan seketika dulu .


Yb. Salahudin Ayub selaku Ketua DPPP merangkap Ahli PArlimen Kubang Kerian , sewaktu merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan di Tawau sebentar tadi , menegaskan bahawa tempoh 25 tahun PASTI melakar rajah jatuh bangunnya untuk berupaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi pengajian pra persekolahan yang lain adalah merupakah langkah mula untuk meneroka kegemilangan yang lebih hebat di masa depan.

DPPP mensasarkan tempoh 25 tahun ke hadapan , PASTI akan berjaya menubuhkan maktab perguruan atau universiti sendiri untuk melahirkan para cendikiawan dan guru yang terus menyumbang kepada pembangunan dan pembinaan insan soleh di peringkat pra persekolahan .
Sumber: Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi

Monday, May 11, 2009

Monolog seorang anak.....

Orang kata aku lahir dari perut mak.. (bukan org kata...memang betul)

Apabila dahaga, yang susukan aku..... mak
Apabila lapar, yang suapkan aku.... mak
Apabila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. .. mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut.... Mak

Apabila bangun tidur, aku cari.... mak
Apabila nangis, orang pertama yang datang .... mak
Apabila nak bermanja, aku dekati.... mak
Apabila nak bergesel, aku duduk sebelah.... mak
Apabila sedih, yang boleh memujukku hanya.... mak
Apabila nakal, yang memarahi aku.... mak

Apabila merajuk, yang memujukku cuma.... mak
Apabila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.... mak
Apabila takut, yang tenangkan aku.... mak
Apabila nak peluk, yang aku suka peluk.... mak
Aku selalu teringatkan .... mak
Apabila sedih, aku mesti hello.... mak
Apabila seronok, orang pertama aku nak beritahu.... . mak
Apabila bengang.. aku suka luah pada.. mak
Apabila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Apabila sakit, orang paling risau adalah.... mak
Apabila nak periksa, orang paling sibuk juga..... mak
Apabila buat hal, yang marah aku dulu.... mak
Apabila ada masalah, yang paling risau.... mak

Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. ... mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk..... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku.... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak
Yang selalu puji aku.... mak
Yang selalu nasihat aku.... mak
Apabila nak kahwin...Orang pertama aku tunjuk dan rujuk..... mak
Aku ada pasangan hidup sendiri....
Apabila seronok, aku cari ..........pasangan hidpku
Apabila sedih, aku cari.... mak
Apabila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Apabila gagal, aku ceritakan pada..... mak
Apabila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Apabila berduka, aku peluk erat.... emakku
apabila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Apabila sibuk, aku hantar anak ke rumah.... mak
Apabila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak telefon mak
Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila.... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan: "Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk
mak? Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".


Berderai air mata jika kita mendengarnya. ...

Wednesday, May 6, 2009

Dedikasi buat semua guru PASTI....



GURU OH GURU


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG, 1979

Sunday, May 3, 2009

Pasti Az Zahra' dan Aqliah wakili Temerloh ke Sukan PASTI Negeri Pahang

Taman Bukit Bendera, Mentakab – PASTI Az Zahra’ (Temerloh Jaya) dan PASTI Aqliah (Paya Pulai) akan mewakili Temerloh dalam pertandingan bola sepak dan bola jaring pada peringkat negeri Pahang.

Pertandingan yang telah berlangsung secara liga itu telah diadakan pada 3 Mei bertempat di Padang Awam, Taman Bukit Bendera, Mentakab. Pertandingan tersebut telah dimulai dengan bacaan ikrar dan nyanyian lagu PASTI. Murid-murid dari PASTI Al Haq, Taman Bukit Bendera telah mengepalai ikrar dan nyanyian itu.

Sebelum acara dimulakan, Haji Yusof Darus, Timbalan YDP PAS Kawasan Temerloh telah memberikan ucapan dan merasmikan sukan tahunan PASTI Kawasan Temerloh ini. Seperti kebiasaan, ibu bapa dan penjaga murid-murid PASTI telah hadir seawal jam 8 pagi bagi memberikan sokongan kepada anak-anak mereka.

Pelbagai aksi yang dipamerkan oleh murid-murid PASTI yang hadir dari 13 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Ibu bapa dan guru juga tidak kurang semangatnya memberikan sokongan semasa perlawanan. Situasi ini kadang-kala menguji kesabaran pengadil di dalam padang. Namun begitu, pertandingan dapat dijalankan dengan baik dan lancar. Tahniah kepada pengadil yang bertungkus-lumus ketika di padang. Jasamu tetap dikenang. Tahun depan datang lagi….

Selain itu, terdapat juga acara sukaneka untuk para ibu bapa dan pengunjung yang hadir. Di samping itu, cabutan bertuah juga diadakan bagi meraikan ibu bapa yang hadir ke sukan tahunan ini.

Pada akhir pertandingan, Saudara Hasanuddin Salim, Setiausaha PAS Kawasan telah sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan peserta yang bertanding. Tahniah kepada yang menang. Yang tewas, cuba lagi tahun depan…

Pasukan yang menang mesti bersaing di peringkat negeri yang dijangka akan diadakan pada 24 Mei nanti. Justeru, pasukan yang menang perlu bersedia dari sekarang. Teruskan perjuangan…Pastikan sampai ke kemuncaknya pada 27 dan 28 Jun di Selangor darul Ehsan. LAWAN TETAP LAWAN!






Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.