Tuesday, June 30, 2009

Hati, mata dan telinga.....

Hati, mata dan telinga merupakan sebahagian daripada organ badan manusia. Ketiga-tiga organ ini mempunyai fungsi tertentu dan sentiasa berhubung antara satu sama lain. Apabila mata melihat sesuatu maka hati akan memberikan respon tertentu. Begitu juga jika telinga mendengar sesuatu maka hati akan memberikan respon.

Dalam banyak keadaan dan situasi dalam kehidupan manusia, mata dan telinga adalah antara portal atau pintu masuk perkara-perkara kebaikan mahupun kemaksiatan. Oleh sebab itulah mata dan telinga perlu dijaga dan dikawal agar tidak berpanjangan terdedah kepada perkara-perkara yang maksiat.

Dalam konteks yang lain pula, mata dan telinga adalah punca bagi mendapat hidayah Allah swt. Ramai manusia yang hebat dan cemerlang bermula dengan mendapat hidayah dengan sesuatu peristiwa yang menyentuh hatinya. Umpamanya, bagaimana Saidina Abu Bakar mendapat hidayah? Antaranya beliau memerhati dengan mata dan mata hatinya terhadap patung-patung sembahan kaumnya yang terapung-apung semasa banjir di Mekah. Patung-patung itu tidak mampu berbuat apa-apa!

Seterusnya, bagaimana pula Saidina Umar Al Khattab memeluk Islam? Adakah beliau menjadi muslim melalui kegagahan atau kekuasaan yang ada pada dirinya? Sudah tentu jawapannya “tidak”. Seperti yang kita sedia maklum, hatinya menjadi terpegun apabila terdengar bacaan ayat-ayat Allah swt. Tuntas, hatinya yang keras, degil dan sombong itu menjadi lembut dan tunduk tersungkur di hadapan kekuasaan Allah swt.

Bagitulah keajaiban hati, mata dan telinga yang diciptakan oleh Pencipta Yang Maha Agung.

Monday, June 22, 2009

IMAN TIDAK SEMPURNA JIKA HIRIS HATI IBU BAPA

SILATURAHIM adalah satu sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan. Ada banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturahim bukanlah suatu ikatan yang diutamakan dalam diri setiap individu.

Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu membunuh nenek atau datuk. Malah, yang paling menyayat hati seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada nilainya. Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.

Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah.

Ibu bapa juga ialah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah. Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa. Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus.

Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa. Begitu juga apabila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa-apa jua perkara. Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya. Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa-apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak, walaupun satu nafasnya.”


Sumber: Detikdaily

Sunday, June 21, 2009

Hasan Al Banna Bapa Contoh

Sebut sahaja nama Hasan Al Banna, pasti ramai yang mengenalinya. Sumbangan Hasan Al Banna kepada perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak terbalas oleh umat Islam. Beliau membuktikan keikhlasannya dalam dakwah dan gerakan Islam sehingga syahid di usia muda. Natijahnya, Hasan Al Banna menjadi model kepada para pejuang dan gerakan Islam hingga kini.

Kejayaan Hasan Al Banna bukan sahaja di medan dakwah tetapi juga dalam pendidikan anak-anak.. Sempena Hari Bapa ini, bersama-sama kita meninjau anak-anak Hasan AL Banna.

i) Wafa: Anak perempuan yang sulung. Wafa ialah isteri kepada pendakwah terkenal; Said Ramadhan. Berusia 17 tahun ketika Hasan Al Banna syahid.
ii) Ahmad Saiful Islam: Anak kedua merupakan seorang peguam dan setiausaha general Majlis Peguam Mesir. Memperoleh sarjana dan bekas ahli Parlimen Mesir. Berusia 14 tahun ketika ayahnya syahid.
iii) Dr. Tsana: Pensyarah Urusan Pengaturan Rumahtangga di Arab Saudi. Berusia 11 tahun ketika ayahnya syahid.
iv) Ir. Raja’ : Berusia 5 tahun ketika ayahnya syahid.
v) Dr. Halah : Pensyarah kedoktoran di Universiti al Azhar
vi) Dr. Istisyhad : Pensyarah Ekonomi Islam. Masih di dalam kandungan ibunya semasa ayahnya syahid. Menurut analisis doktor, beliau harus digugurkan dalam kandungan ibu kerana berpenyakit dan boleh membahayakan nyawa ibunya. Para doktor menetapkan pada tarikh 12 Februari untuk digugurkan, iaitu tarikh yang sama dengan kematian ayahnya. Namun dengan izin Allah, beliau selamat lahir dengan sihat.

Semoga kejayaan anak-anak yang ditinggalkan oleh Hasan Al Banna ini dapat dijadikan inspirasi untuk kita memacu kecemerlangan pendidikan anak-anak. Mudah-mudahan Allah membantu kita. Amin.

Wednesday, June 17, 2009

Persediaan ke Sukan PASTI Malaysia.....

Pasukan Bola Sepak dan Bola Jaring Jabatan PASTI Pahang telah mengadakan sesi latihan berpusat di Taman Kubang Gajah Temerloh pada 13 dan 14 Jun yang lalu. Tujuan latihan ini adalah untuk memberikan pendedahan kemahiran berpasukan kepada para pemain yang akan mewakili Pahang di peringkat Malaysia yang akan diadakan pada 20 dan 21 Jun nanti di Selangor.

Sesi latihan ini telah dipimpin oleh Encik Ahmad Bustaman dari Indera Mahkota (bola sepak) dan Puan Hamimi dari Bera ( bola jaring). Kedua-dua jurulatih ini begitu tekun melatih para pemain walaupun berdepan dengan pelbagai karenah dan ragam pemain cilik ini.

Pada sepanjang latihan tersebut, beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah Pasti Negeri Pahang juga hadir untuk melancarkan sesi latihan. Guru-guru pengiring dan beberapa orang guru dari Temerloh juga hadir bagi memberikan sokongan. Turut hadir juga ialah ibu bapa murid yang mengiringi anak masing-masing.

Diharapkan pasukan ini akan memperoleh kejayaan semasa bertanding di Selangor nanti. Lawan tetap lawan!

Tuesday, June 9, 2009

MB Kelantan di Temerloh

TEMERLOH, 9 Jun- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan telah merasmikan Bangunan PAS Pahang yang terletak di tengah-tengah Bandar Temerloh kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Program yang penuh bersejarah itu memaparkan kemampuan parti Islam itu menonjolkan diri dalam deretan pusat komersial di bandar itu. Yang lebih utama adalah komitmen ahli-ahli dan penyokong parti Islam itu yang telah menyumbangkan kewangan bagi menampung kos pembelian bangunan itu.
Semasa ucapan perasmian, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz mengingatkan hadirin tentang asul-usul manusia yang dicipta oleh Allah. Beliau juga menekankan peranan takwa kepada muslim. Takwa merupakan bayaran muslim kepada Tuhannya; bayaran dalam bentuk yang lain tidak akan diterima. Tuan Guru juga menggalakkan amalan derma terus dihayati. Derma dan sumbangan yang diberikan hendaklah dengan ikhlas agar diterima oleh Allah s.w.t.

Selepas ucapan perasmian, TGNA telah dijemput memotong tali belon untuk dilepaskan ke udara sebagai simbolik perasmian bangunan itu. Atur cara program berakhir dengan majlis sidang akhbar.

Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan Bangunan PAS Pahang masih memerlukan sumbangan daripada penderma-penderma. Bangunan yang bernilai RM600 000.00 itu masih menanti sumbangan dari penderma-penderma yang budiman.

Friday, June 5, 2009

Ilmu dan Amal: Peringatan Al-Ghazali

Anakku,

Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya;
“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan dalam ibadah pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umurnya empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka.”

Nasihat ini sebenarnya sudah cukup untuk orang yang berilmu.

Anakku,

Memberi nasihat memangnya mudah. Yang payah adalah untuk menerimanya. Nasihat amat pahit bagi manusia yang mengikut hawa nafsu. Mereka lebih senang dengan perkara-perkara yang terlarang.

Ada manusia yang menganggap ilmu yang ada sudah memadai untuk memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Oleh itu tidak perlu lagi beramal dengan ilmu yang ada. Sebenarnya ini adalah pandangan sesat ahli-ahli falsafah. Subhanallah! Tidakkah mereka tahu? Orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya itu, maka ilmu itu sendiri akan mendakwanya di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah saw bermaksud;
“Manusia yang paling teruk diazab pada hari Qiamat ialah orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya.” (Tabrani)

Wahai anak,

Beramallah dengan ilmu yang ada. Yakinlah bahawa ilmu sahaja tanpa amal tidak akan dapat menyelamatkan kamu di akhirat.

Bayangkanlah seorang lelaki yang gagah memasuki hutan, membawa bersama-samanya berjenis senjata. Tiba-tiba seekor singa ganas menyerangnya. Apakah kau fakir senjata-senjata itu dapat menyelamatkannya, sekiranya dia tidak mengangkat dan menggunakan senjata tersebut.

Jelas sekali senjata tadi tidak berguna kalau tidak digunakan. Begitu juga keadaannya seorang yang membaca dan mengetahui banyak perkara, tetapi tidak langsung menggunakan pengetahuan tadi; ilmunya tidak memberi manfaat jika tidak beramal dengan ilmu tersebut.

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.