Saturday, April 25, 2009

LAWATAN BELAJAR MURID PASTI

TEMERLOH- 5 buah PASTI iaitu PASTI Al Amin (Sg Gau), Al Hidayah (Paya Luas), AN Najmi ( Bintang), Lukman Hakim ( Pangsenam) dan Habiburahman ( Kg Batu Satu) telah mengadakan lawatan belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh. Lawatan ini bertujuan menambahkan pengetahuan murid-murid PASTI berkenaan tugas dan peranan pasukan bomba dan penyelamat.
Setibanya rombongan murid-murid dan guru-guru di balai bomba, beberapa orang pegawai bomba telah menyambut mereka. Manakala murid-murid kelihatan teruja apabila melihat pegawai-pegawai bomba yang berpakaian seragam menghampiri mereka.

Semasa kunjungan, murid-murid PASTI dan guru-guru diberikan taklimat tentang pasukan bomba dan tugas-tugas mereka dalam memadamkan kebakaran dan menyelamat. Kemudian, murid-murid diberi peluang melihat kenderaan bomba di balai berkenaan. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menaiki kenderaan bomba yang ada di balai itu.

Tahniah kepada guru-guru yang berjaya menganjurkan lawatan yang bermanfaat ini. Dalam proses pendidikan, murid-murid bukan sahaja dididik di dalam kelas malah lawatan seperti ini juga dapat membangunkan perkembangan diri murid-murid agar mereka terdedah dengan realiti kehidupan. Semoga terus sukses!

Friday, April 24, 2009

Sukan dan batas-batasnya.....

Oleh Profesor Madya Syed Omar Syed Agil

Rasulullah bersabda `Allah lebih menyayangi orang Mu’min yang kuat dari orang Mu’min yang lemah’

Seseorang Muslim mempunyai banyak tanggungjawab yang harus di laksanakan termasuk tanggungjawab terhadap dirinya, keluarganya, ibubapanya, saudara seagamanya, jirannya, masyarakatnya dan negara. Ini sudah tentu memerlukan kesihatan tubuh badan agar dia dapat melakukan amal soleh dan kerja-kerja kebajikan dan meningkatkan kualiti kerjanya. Muslim juga perlu melaksanakan ayat Quran yang berbunyi `Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan’ (Surah Al-Maidah). Malah kita dituntut untuk membuat persediaan untuk menghadapi kekuatan musuh `Perlengkapkanlah diri kamu untuk mereka (musuh) sekadar yang terdaya dari kekuatan’(Al-Anfal: 60)

Walaubagaimanapun ini tidak bermaksud seseorang Muslim itu harus terlibat dalam sukan atau apa sahaja aktiviti jasmani sehingga lupa kepada tanggungjawab-tanggungjawab lain. Allah SWT tidak meredhai seorang Muslim yang begitu seronok bersukan sehingga dia melupai waktu solatnya. Atau seorang Muslim yang menyertai aktiviti sukan tanpa memikirkan pakaian yang sesuai dan menutup aurat sehingga auratnya terdedah kepada penglihatan orang lain dan ini adalah di haramkan oleh Islam. Islam mahu menutup `pintu-pintu kerosakan’ dan aktviti-aktiviti atau faktor-faktor yang boleh menyebabkan teransangnya nafsu syahwat lelaki kepada wanita dan sebaliknya yang bukan suami isteri adalah mengundang kepada kerosakan dan kehinaan dalam masyarakat.

Oleh kerana itulah, kita dapat lihat gejala sosial dan penyakit yang berpunca daripada hubungan bebas lelaki dan wanita semakin berleluasa kerana manusia ingkar terhadap panduan dan peraturan yang di tetapkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dan mereka tunduk kepada telunjuk hawa nafsu mereka. Allah berfirman `Tidakkah kamu melihat manusia yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhanya? Manusia yang di ciptakan oleh Allah SWT agar tunduk dan patuh kepada Nya memilih jalan yang merosakkan dirinya dengan mematuhi kehendak nafsunya.

Oleh itu Islam amat menekankan agar peraturan dan panduan Islam di patuhi dalam semua aspek termasuk dalam aktiviti sukan yang amat di galakkan dalam Islam.
Selain daripada itu kita mahu supaya aktiviti sukan yang kita libatkan diri akan di kira sebagai ibadah dan di terima oleh Allah SWT sebagai bekalan di hari akhirat kelak apabila kita bertemu dengan Allah SWT untuk di kira segala amalan kita dan dihisab oleh Nya samada kita di masukkan kedalam syurga atau nereka. Untuk itu kita harus pastikan agar aktiviti sukan atau apa sahaja program pembangunan jasmani yang kita hadiri memenuhi syarat-syarat berikut:
1) Niat kita haruslah untuk menjaga kesihatan badan agar mendapat keredahaan Allah SWT
2) Aktviti itu tidak lakukan dalam suasana yang bercanggah dengan syariat Islam.

Dalam Islam `Matlamat tidak menghalalkan cara’ atau `al ghayah la tubarrirul wasilah’. Matlamat yang baik iaitu untuk menjaga kesihatan badan tidak harus di cemari dengan cara atau pendekatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Kita tidak mahu usaha menyihatkan badan melalui aktiviti sukan tidak di kira sebagai ibadah oleh Allah SWT dan ia menjadi sia-sia sahaja. Aktiviti sukan yang membenarkan pencampuran lelaki dan wanita secara bebas boleh membawa kepada kemudaratan jiwa , akal dan emosi. Akhirnya ia boleh membawa kepada perbuatan sumbang dan merosakkan akhlak mereka yang terlibat.

Sunday, April 19, 2009

SISTEM PENDIDIKAN PRASEKOLAH PERLU BERMULA PADA UMUR MURID 4 TAHUN- Profesor Madya Dr. Supyan bin Husin

Temerloh Jaya- Profesor Madya Dr. Supyan bin Husin menegaskan bahawa pendidikan prasekolah perlu bermula ketika umur kanak-kanak 4 tahun. Beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga PASTI Malaysia menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Jamuan Amal yang dianjurkan oleh PASTI Az-Zahra' pada malam 18 Mei 2008.

Dr. Sufian juga menegaskan oleh sebab itulah PASTI telah memperkenalkan prasekolah bermula 4 tahun sejak beberapa tahun yang lalu. Menurutnya lagi, kanak-kanak perlu dididik dengan pendidikan yang mampu membentuk peribadi yang positif. Beliau mengambil contoh satu kajian yang dibuat di luar negara kepada sekumpulan tikus. Dalam ujian itu, tikus didengarkan dengan muzik-muzik yang berbeza rentak. Bagi tikus yang didengarkan dengan rentak "rock", apabila dilepaskan akan berjalan dan berkelakuan ala penyanyi rock di atas pentas. Manakala, tikus yang didengarkan dengan muzik yang berentak lembut berjalan dan berkelakuan lebih teratur dan baik. Justeru, ibu bapa perlu memilih pendidikan yang sesuai bagi membentuk perkembangan anak-anak.

Ibu bapa juga perlu mewujudkan persekitaran yang baik semasa di rumah agar anak-anak tidak terkeliru. Ini bermakna ibu bapa perlu mewujudkan kesinambungan amalan ketika di rumah seperti yang terdapat di sekolah. Jika amalan di rumah berbeza dengan pendidikan di sekolah, implikasinya boleh menjadikan anak-anak keliru.

Malam Jamuan Amal itu juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada Ustaz Akhwan Afenddi dengan lagu-lagu yang menghiburkan para hadirin. Persembahan daripada murid-murid PASTI Az-Zahra' juga tidak kurang hebatnya. Tahniah!




Sehubungan dengan itu, Jabatan PASTI Temerloh mengucapkan syabas kepada Jemaah Pengurusan PASTI Az-Zahra kerana berjaya mengadakan Jamuan Amal tersebut. Kemeriahan malam tersebut amat bermakna bagi perkembangan PASTI di Temerloh.



















Saturday, April 11, 2009

KESILAPAN-KESILAPAN IBU BAPA DAN PENDIDIK.....

◙ Kurang berdoa
◙ Memperkecilkan kebolehan anak
◙ Kurang tegas
◙ Tidak menjadi kawan kepada anak
◙ Tidak menunjukkan kasih sayang
◙ Kurang mendedahkan tokoh atau model yang cemerlang
◙ Kurang menghidupkan sunnah dalam rumah tangga
◙ Kurang bermesyuarat dalam keluarga
◙ Bertengkar di hadapan anak
◙ Kurang mengasuh anak membuat kerja rumah
◙ Kurang pengawasan
◙ Kurang sabar
◙ Tidak meraikan anak
◙ Tidak memberikan penghargaan
◙ Tidak menitikberatkan makanan seimbang
◙ Membezakan layanan
◙ Tidak mengajar ana
k tentang kemahiran sosial
◙ Kurang masa berkualiti untuk anak
◙ Terlalu memberikan kebebasan
◙ Terlalu mengongkong
◙ Mungkir janji dan berbohong
◙ Tidak menunjukkan minat terhadap aktiviti anak
◙ Tanggapan negatif
◙ Kurang meminta bantuan daripada orang yang mahir

Saturday, April 4, 2009

SURAT LAYANG DARIPADA IBLIS !! by Soha

Malam tadi waktu mahu tidur aku lihat kau tidak memuji Allah, tidak berselawat, tidak membaca ayat Kursi dan Kulhu. Ini bagus sekali kerana waktu tidur adalah waktu untuk tidur bukan untuk membaca Al-Quran. Sesungguhnya engkau tidak membuang masa.

Pagi ni aku lihat kau tidak bangun mengerjakan solat subuh. Bagus sekali! Engkau telah membuktikan bahawa engkau adalah sahabatku yang budiman. Janganlah engkau susah-susah bangun dan memendekkan tidurnya. Tidurlah dengan nyeyak dan nyaman. Jangan hiraukan suara ayam yang berkokok atau penggera jam yang mengejutkan engkau dari tidurmu. Apabila subuh datang menjelang, udara masih dingin, tariklah selimutmu dan tidurlah sayangku seperti puteri kayangan. Aku lihat engkau jarang-jarang mangambil wudu'. Ini bagus sekali kerana engkau tidak membazirkan air dan tidak meninggikan bil air rumahmu.

Aku lihat engkau tidak pernah membaca Bismillah sewaktu hendak makan. Ini bagus kerana engkau tidak memenatkan mulutmu. Apabila sudah kenyang, engkau tidak pernah menyebut alhamdulillah. Ini bagus juga. Cukuplah engkau sendawa kuat-kuat seperti lembu. Hai manusia yang kucintai, semalam ada seorang peminta sedekah datang ke rumahmu. Engkau menghalaunya, suruh pergi tanpa engkau memberikan duit sesen pun ataupun seteguk air. Sangat bagus dan terpuji kerana engkau tidak membuang-buang duit dan tidakmembazirkan rezekimu yang melimpah-limpah yang diberikan Allah kepadamu. Engkau seorang yang berjimat cermat. Biarlah rezeki engkau untuk kegunaan engkau seorang, untuk menonton wayang, berholiday di Genting dan membeli kemewahan dunia.

Aku lihat apabila engkau bertemu dengan sahabat handaimu, engkau tidak mengucapkan Assalamualaikum. Engkau mengucapakan 'Hi everybody!'. Ini bagus juga kerana engkau menunjukkan bahawa engkau mengerti adab resam orang kafir dan engkau mengerti bahasa Inggeris.Tidak perlu engkau belajar membaca bahasa Arab kerana ini bukan bahasa antarabangsa. Engkau telahmembuktikan bahawa engkau dan aku adalah sahabat sejati. Sudah tentu engkau adalah seorang yang budiman kepada kaumku.

Duhai manusia, apabila engkau berpuasa, telah lemah seluruh urat sendiku, telah terbakar seluruh jasadku, merintihku kesakitan, apabila setiap kali ku lihat hamba-hambaNya yang penat berpuasa di siang hari dan menghabiskan waktu malamnya dengan berzikir dan merintih mengenang dosa-dosanya yang lepas kerana pintu taubat telah dibuka Allah dengan seluas-luasnya.

Namun, aku tetap gembira kerana ada antara kamu yang masih sudi menjadi temanku...melepaskan peluang rahmat Allah dengan mengucap perkataan yang sia-sia, mencipta persengketaan dan mereka surat fitnah ...melaga-lagakan sesama muslim. Tahniah temanku kerana sudi menyertai perjuangan suciku ini. Semoga kita menjadi teman sejati.

Tubuh-badanku yang terbelenggu telah segar kembali. Cukuplah NAFSU manusia sendiri menjadi penyambung tugasku di sepanjang masa. Di akhirat nanti, engkau dan aku dapat berjalan bersama-sama...kita berpegang tangan menuju NERAKA JAHANAM.......

Sahabatmu yang tercinta,

IBLIS LAKNATULLAH

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.