Saturday, April 25, 2009

LAWATAN BELAJAR MURID PASTI

TEMERLOH- 5 buah PASTI iaitu PASTI Al Amin (Sg Gau), Al Hidayah (Paya Luas), AN Najmi ( Bintang), Lukman Hakim ( Pangsenam) dan Habiburahman ( Kg Batu Satu) telah mengadakan lawatan belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh. Lawatan ini bertujuan menambahkan pengetahuan murid-murid PASTI berkenaan tugas dan peranan pasukan bomba dan penyelamat.
Setibanya rombongan murid-murid dan guru-guru di balai bomba, beberapa orang pegawai bomba telah menyambut mereka. Manakala murid-murid kelihatan teruja apabila melihat pegawai-pegawai bomba yang berpakaian seragam menghampiri mereka.

Semasa kunjungan, murid-murid PASTI dan guru-guru diberikan taklimat tentang pasukan bomba dan tugas-tugas mereka dalam memadamkan kebakaran dan menyelamat. Kemudian, murid-murid diberi peluang melihat kenderaan bomba di balai berkenaan. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menaiki kenderaan bomba yang ada di balai itu.

Tahniah kepada guru-guru yang berjaya menganjurkan lawatan yang bermanfaat ini. Dalam proses pendidikan, murid-murid bukan sahaja dididik di dalam kelas malah lawatan seperti ini juga dapat membangunkan perkembangan diri murid-murid agar mereka terdedah dengan realiti kehidupan. Semoga terus sukses!

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.