Sunday, May 3, 2009

Pasti Az Zahra' dan Aqliah wakili Temerloh ke Sukan PASTI Negeri Pahang

Taman Bukit Bendera, Mentakab – PASTI Az Zahra’ (Temerloh Jaya) dan PASTI Aqliah (Paya Pulai) akan mewakili Temerloh dalam pertandingan bola sepak dan bola jaring pada peringkat negeri Pahang.

Pertandingan yang telah berlangsung secara liga itu telah diadakan pada 3 Mei bertempat di Padang Awam, Taman Bukit Bendera, Mentakab. Pertandingan tersebut telah dimulai dengan bacaan ikrar dan nyanyian lagu PASTI. Murid-murid dari PASTI Al Haq, Taman Bukit Bendera telah mengepalai ikrar dan nyanyian itu.

Sebelum acara dimulakan, Haji Yusof Darus, Timbalan YDP PAS Kawasan Temerloh telah memberikan ucapan dan merasmikan sukan tahunan PASTI Kawasan Temerloh ini. Seperti kebiasaan, ibu bapa dan penjaga murid-murid PASTI telah hadir seawal jam 8 pagi bagi memberikan sokongan kepada anak-anak mereka.

Pelbagai aksi yang dipamerkan oleh murid-murid PASTI yang hadir dari 13 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Ibu bapa dan guru juga tidak kurang semangatnya memberikan sokongan semasa perlawanan. Situasi ini kadang-kala menguji kesabaran pengadil di dalam padang. Namun begitu, pertandingan dapat dijalankan dengan baik dan lancar. Tahniah kepada pengadil yang bertungkus-lumus ketika di padang. Jasamu tetap dikenang. Tahun depan datang lagi….

Selain itu, terdapat juga acara sukaneka untuk para ibu bapa dan pengunjung yang hadir. Di samping itu, cabutan bertuah juga diadakan bagi meraikan ibu bapa yang hadir ke sukan tahunan ini.

Pada akhir pertandingan, Saudara Hasanuddin Salim, Setiausaha PAS Kawasan telah sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan peserta yang bertanding. Tahniah kepada yang menang. Yang tewas, cuba lagi tahun depan…

Pasukan yang menang mesti bersaing di peringkat negeri yang dijangka akan diadakan pada 24 Mei nanti. Justeru, pasukan yang menang perlu bersedia dari sekarang. Teruskan perjuangan…Pastikan sampai ke kemuncaknya pada 27 dan 28 Jun di Selangor darul Ehsan. LAWAN TETAP LAWAN!






No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.