Monday, June 22, 2009

IMAN TIDAK SEMPURNA JIKA HIRIS HATI IBU BAPA

SILATURAHIM adalah satu sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan. Ada banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturahim bukanlah suatu ikatan yang diutamakan dalam diri setiap individu.

Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu membunuh nenek atau datuk. Malah, yang paling menyayat hati seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada nilainya. Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.

Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah.

Ibu bapa juga ialah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah. Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa. Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus.

Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa. Begitu juga apabila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa-apa jua perkara. Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya. Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa-apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak, walaupun satu nafasnya.”


Sumber: Detikdaily

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.