
Hati, mata dan telinga merupakan sebahagian daripada organ badan manusia. Ketiga-tiga organ ini mempunyai fungsi tertentu dan sentiasa berhubung antara satu sama lain. Apabila mata melihat sesuatu maka hati akan memberikan respon tertentu. Begitu juga jika telinga mendengar sesuatu maka hati akan memberikan respon.
Dalam banyak keadaan dan situasi dalam kehidupan manusia, mata dan telinga adalah antara portal atau pintu masuk perkara-perkara kebaikan mahupun kemaksiatan. Oleh sebab itulah mata dan telinga perlu dijaga dan dikawal agar tidak berpanjangan terdedah kepada perkara-perkara yang maksiat.

Dalam konteks yang lain pula, mata dan telinga adalah punca bagi mendapat hidayah Allah swt. Ramai manusia yang hebat dan cemerlang bermula dengan mendapat hidayah dengan sesuatu peristiwa yang menyentuh hatinya. Umpamanya, bagaimana Saidina Abu Bakar mendapat hidayah? Antaranya beliau memerhati dengan mata dan mata hatinya terhadap patung-patung sembahan kaumnya yang terapung-apung semasa banjir di Mekah. Patung-patung itu tidak mampu berbuat apa-apa!
Seterusnya, bagaimana pula Saidina Umar Al Khattab memeluk Islam? Adakah beliau menjadi

muslim melalui kegagahan atau kekuasaan yang ada pada dirinya? Sudah tentu jawapannya “tidak”. Seperti yang kita sedia maklum, hatinya menjadi terpegun apabila terdengar bacaan ayat-ayat Allah swt. Tuntas, hatinya yang keras, degil dan sombong itu menjadi lembut dan tunduk tersungkur di hadapan kekuasaan Allah swt.
Bagitulah keajaiban hati, mata dan telinga yang diciptakan oleh Pencipta Yang Maha Agung.
No comments:
Post a Comment