Friday, June 5, 2009

Ilmu dan Amal: Peringatan Al-Ghazali

Anakku,

Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya;
“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan dalam ibadah pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umurnya empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka.”

Nasihat ini sebenarnya sudah cukup untuk orang yang berilmu.

Anakku,

Memberi nasihat memangnya mudah. Yang payah adalah untuk menerimanya. Nasihat amat pahit bagi manusia yang mengikut hawa nafsu. Mereka lebih senang dengan perkara-perkara yang terlarang.

Ada manusia yang menganggap ilmu yang ada sudah memadai untuk memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Oleh itu tidak perlu lagi beramal dengan ilmu yang ada. Sebenarnya ini adalah pandangan sesat ahli-ahli falsafah. Subhanallah! Tidakkah mereka tahu? Orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya itu, maka ilmu itu sendiri akan mendakwanya di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah saw bermaksud;
“Manusia yang paling teruk diazab pada hari Qiamat ialah orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya.” (Tabrani)

Wahai anak,

Beramallah dengan ilmu yang ada. Yakinlah bahawa ilmu sahaja tanpa amal tidak akan dapat menyelamatkan kamu di akhirat.

Bayangkanlah seorang lelaki yang gagah memasuki hutan, membawa bersama-samanya berjenis senjata. Tiba-tiba seekor singa ganas menyerangnya. Apakah kau fakir senjata-senjata itu dapat menyelamatkannya, sekiranya dia tidak mengangkat dan menggunakan senjata tersebut.

Jelas sekali senjata tadi tidak berguna kalau tidak digunakan. Begitu juga keadaannya seorang yang membaca dan mengetahui banyak perkara, tetapi tidak langsung menggunakan pengetahuan tadi; ilmunya tidak memberi manfaat jika tidak beramal dengan ilmu tersebut.

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.