Wednesday, June 17, 2009

Persediaan ke Sukan PASTI Malaysia.....

Pasukan Bola Sepak dan Bola Jaring Jabatan PASTI Pahang telah mengadakan sesi latihan berpusat di Taman Kubang Gajah Temerloh pada 13 dan 14 Jun yang lalu. Tujuan latihan ini adalah untuk memberikan pendedahan kemahiran berpasukan kepada para pemain yang akan mewakili Pahang di peringkat Malaysia yang akan diadakan pada 20 dan 21 Jun nanti di Selangor.

Sesi latihan ini telah dipimpin oleh Encik Ahmad Bustaman dari Indera Mahkota (bola sepak) dan Puan Hamimi dari Bera ( bola jaring). Kedua-dua jurulatih ini begitu tekun melatih para pemain walaupun berdepan dengan pelbagai karenah dan ragam pemain cilik ini.

Pada sepanjang latihan tersebut, beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah Pasti Negeri Pahang juga hadir untuk melancarkan sesi latihan. Guru-guru pengiring dan beberapa orang guru dari Temerloh juga hadir bagi memberikan sokongan. Turut hadir juga ialah ibu bapa murid yang mengiringi anak masing-masing.

Diharapkan pasukan ini akan memperoleh kejayaan semasa bertanding di Selangor nanti. Lawan tetap lawan!

No comments:

Hari Graduasi PASTI Temerloh 2008

YDP Kawasan Temerloh, Ustaz Abdul Rahim b Latif telah merasmikan Hari Graduasi PASTI Temerloh pada 8 November 2008 di Dewan Pusat Pengajian Al Mukmin Temerloh. Hari Graduasi ini juga telah dihadiri oleh Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Abdul Rahim menyeru ibu bapa menekankan aspek pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Beliau juga menegaskan peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang soleh. Jika ibu bapa gagal mendidik anak-anak dengan baik, maka mereka dikira sebagai ibu bapa yang derhaka.

Hari Graduasi kali ini meraikan 128 orang murid PASTI yang telah tamat pengajian mereka di 12 buah PASTI dalam kawasan Temerloh. Manakala kira-kira 200 orang ibu bapa dan penjaga telah hadir pada Hari Graduasi tersebut.